Tuesday, July 4, 2017

SUSU YANG TERBAIK SELAIN SUSU IBU IALAH SUSU LEMBU DAN KERBAU

APAKAH SUSU YANG TERBAIK DAN "PALING SUNNAH" MENURUT ULAMA TIBB?

● Hadis palsu dan fakta palsu dalam perubatan sudah muncul sejak zaman dahulu lagi. Kebiasaannya ia muncul daripada para penjual yang tidak mempunyai latar belakang ilmu perubatan dan ilmu agama, maka, demi mengaut keuntungan, mereka sanggup membuat kenyataan palsu dan menyandarkan sesuatu kepada Nabi SAW tanpa sebarang bukti dan dalil. Itulah yang terjadi kepada masyarakat kita dalam isu susu.

● Sekarang mari kita lihat apa kata Ulama Tibb mengenai susu yang terbaik. Secara umumnya, susu yang terbaik ialah susu ibu (susu manusia). Boleh dikatakan kesemua Ulama Tibb bersepakat dalam hal ini. Namun, susu ibu dikhususkan untuk bayi. Jadi, apakah susu yang terbaik untuk diamalkan oleh manusia secara umum, terutamanya untuk yang bukan bayi?

● Secara umumnya, kesemua susu ada manfaat dan khasiat yang tersendiri. Mana-mana susu boleh diambil mengikut kesesuaian dan keadaan. Walau bagaimanapun, hampir kesemua Ulama Tibb bersepakat bahawa susu yang terbaik untuk diamalkan ialah susu lembu, kerana kualiti susunya yang baik dan juga tabi'at kehamilan lembu yang paling menghampiri tabi'at kehamilan manusia, iaitu tempoh kehamilan sekitar 280 hari.

● Pertamanya kita lihat hadis Nabi SAW dalam isu ini, kerana hadis dijadikan sumber tertinggi dalam menentukan kesunnahan sesuatu perkara. Kemudian barulah kita lihat kata-kata Ulama Tibb yang berautoriti dalam Tibb Qadim (Perubatan Klasik).

 عليكم بألبان البقر فإنها ترم من كل الشجر و هو شفاء من كل داء

"Wajib (wajar) ke atas kamu [mengamalkan] susu lembu. Sesungguhnya ia memakan kesemua rumput. Dan ia adalah penyembuh daripada segala penyakit."

Riwayat al-Hakim

● Sekarang kita lihat pula apa kata para Ulama Tibb;

• Laban al-Baqar, yakni air susu lembu dan kerbau, iaitu terlebih baik daripada sekalian air susu. Kata Syaikh al-Buqari dalam Hasyiah al-Syin, bermula lafaz baqar itu isim jenis, maka iaitu dua bagai. Pertama, 'irab, yakni lembu. Kedua, jamus, iaitu kerbau. Dan dinamai akan keduanya baqar yakni membelah kerana keduanya membelah akan tanah tatkala menenggala. Dan dalil yang menyebutkan lebih air susunya seperti sabda Nabi SAW:

عليكم بألبان البقر فإن لبنها شفاء وسمنها دواء ولحمها داء

Yakni: "Lazim atas kamu dengan dimakan air susu lembu dan kerbau, kerana bahawasanya air susunya itu menyembuh bagi tiap-tiap penyakit, dan minyak sapinya ubat, dan dagingnya penyakit."

Kata Halimi rahmatullahi ta'ala ['alaih]:

"Hadis ini dipertanggung kepada [lembu] yang kurus kerana daging lembu yang tumbon (tembun) itu tiada jadi penyakit dagingnya."

- Al-Rahmah fi al-Tibb wa al-Hikmah
Syaikh Abbas Kuta Karang

• Dan ianya (susu lembu) antara susu yang paling seimbang dan yang paling afdal.

 - Al-Tibb al-Nabawi
Ibn Qayyim al-Jauziah

• [Susu] yang paling sesuai ialah yang paling hampir [tempoh hamilnya dengan manusia], seperti susu lembu.

- Al-Qanun fi al-Tibb
Ibn Sina

• Setiap haiwan yang tempoh hamilnya lebih panjang daripada tempoh hamil manusia, maka susunya adalah buruk (untuk manusia). Yang paling hampir adalah yang terbaik, seperti susu lembu.

- Al-Mujaz fi al-Tibb
Ibn al-Nafis

• Al-Tabari menyatakan daripada sebahagian kitab-kitab Hindi: Susu lembu adalah sebaik-baik susu.

- Al-Jami'
Ibn al-Baitar

● Ini hanyalah sebahagian kecil contoh yang disebutkan oleh para Ulama Tibb. Banyak lagi kitab yang boleh dikaji dan dikembangkan.

KESIMPULAN

● Setiap susu yang Allah ciptakan itu ada khasiat dan manfaatnya yang tersendiri. Mana-mana susu boleh diamalkan mengikut kesesuaian dan keadaan. Mana-mana susu boleh dianggap sunnah kerana ada ayat Al-Quran dan hadis yang memuji susu secara umum tanpa mengkhususkan kepada mana-mana haiwan.

● Cumanya, para Ulama Tibb menetapkan bahawa susu yang terbaik ialah susu ibu, kemudiannya susu lembu. Ada riwayat yang menyebutkan Nabi SAW pernah meminum susu kambing, tetapi tidaklah dipuji atau diperintahkan oleh Baginda sepertimana diperintahkan susu lembu dan susu unta.

● Dan beringatlah, jika kita ingin menyandarkan sesuatu kepada Nabi SAW, pastikan ada dalil dan buktinya, supaya kita tidak terjebak dalam menyebarkan hadis palsu.

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment